MARI BERDOA SEPERTI MUSA AS - Jiakreatifelt

Jan 12, 2017

MARI BERDOA SEPERTI MUSA AS



Mari kita belajar sesuatu yang hebat hari ini. Perhatikan doa di bawah ini:

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Ini adalah doa seorang nabi yang mulia, Musa AS, seperti yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Qasas, ayat 24.

Maksudnya:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku."

Doa ini baginda ungkapkan di bawah sepohon pokok, selepas menolong dua orang anak gadis memberi minum kepada haiwan ternakan mereka. Doa ini juga dilafazkan oleh baginda, setelah berpenat-lelah bermusafir, melarikan diri dari Firaun yang ingin menangkapnya kerana telah membunuh (secara tidak sengaja) seorang Qibti.

Apa yang hebat sangat dengan doa ini?

Ada TIGA pengajaran besar yang boleh kita ambil dan amalkan dari doa ini.

PERTAMA, Musa AS bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam meminta pertolongan. Boleh sahaja baginda meminta bantuan dari dua orang anak gadis yang telah dibantunya. Apatah lagi baginda sehelai sepinggang dan dalam keadaan yang amat-amat memerlukan. Tetapi tidak, baginda meletakkan sepenuh pengharapan kepada kekasihnya kerana baginda amat yakin bahawa pasti Dia akan membukakan pintu rezeki buatnya.

KEDUA, Musa AS sangat beradab dalam berdoa kepada-Nya. Tiada satu ayat perintah pon di dalam butir-butir katanya. Tiada kata-kata seperti "Berilah!" atau "Kurniakanlah!" atau "Limpahkanlah!". Yang ada hanyalah, "Aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan..." Ya walaupun tiada salahnya berdoa dengan ayat perintah seperti yang disepakati para ulama', namun di dalam kes ini, Musa AS telah menunjukkan kita sesuatu yang sangat istimewa. Kerendahan hati baginda dan rasa pasrah yang teramat sangat menjadikan baginda penuh dengan adab dan rasa chenta dalam bermunajat kepada-Nya.

Dan KETIGA, Musa AS amat berlapang dada dalam memohon kepada Allah 'Azza wajalla. Baginda tidak meminta apa-apa yang spesifik daripada-Nya. Tidak dimintanya makanan, minuman atau tempat perlindungan. Yang ada hanyalah "sesuatu kebaikan." Kerana baginda tahu, Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Memberi Rezeki itu, lebih tahu dan arif, apa yang lebih diperlukankan oleh baginda ketika itu.

Dan sungguh, untuk tiga rahsia dan hikmah ini, seperti yang dikisahkan di dalam ayat-ayat selepas itu, Allah SWT segera memakbulkan permintaan Musa AS!

Nak tahu bagaimana Allah memenuhi hajat baginda? Ha, silalah buka lembaran al-Quran anda dan tadabbur surah al-Qasas yang osem itu!

Ayuh, mari kita sama-sama hafal dan amalkan doa yang hebat ini!

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

@templatesyard